0 Cukupkah sekadar potong elaun menteri??




ELAUN menteri dan timbalan menteri dipotong 10 peratus.

Apakah ini, juga 10 langkah lain yang diumumkan kelmarin mampu meredakan tekanan emosi rakyat berikutan kenaikan kos hidup yang seakan tidak terkawal sekarang?
Meneliti pengumuman itu, saya teringat isu di tempat tinggal saya di Bandar Tasik Puteri, Rawang.

Sesiapa yang membeli rumah di situ, tertunggu-tunggu bilakah susur keluar/masuk ke Lebuhraya Latar akan dibina sedangkan itulah janji pemaju ketika memujuk kami beli rumah dahulu.

Tidak lama dahulu, penduduk berdemonstrasi, menaikkan sepanduk menuntut pemaju kotakan janji. Kemudian, naiklah sekeping papan ‘PROJEK SUSUR KELUAR/MASUK LEBUH RAYA LATAR’ di samping dua longgok batu.

Penduduk pun diam. Kesudahannya, kekal dua longgok batu itulah sahaja dan laluan sebenar, tidak juga dibina sampai sekarang.

Tidak ada kaitan sama sekali tetapi itulah yang saya teringat apabila meneliti 11 langkah mengurangkan perbelanjaan sektor awam termasuk pemotongan elaun menteri/ timbalan menteri kelmarin.

Knee-jerk reaction atau reaksi spontan – demikian pengumuman itu ditanggap kebanyakan orang.

Ini kerana tidak ada langkah yang benar-benar konkrit diumumkan untuk memastikan penjimatan kerajaan akan benar-benar memberi kesan dalam meredakan kemelut ini.

Memang benar antara yang disuarakan rakyat ialah menuntut pemotongan elaun menteri/ timbalan menteri,  namun apabila ianya sekadar 10 peratus daripada elaun keraian, apakah itu berbaloi?


Menyesal

Selain itu, tindakan ini bagi saya agak lewat iaitu diumumkan hanya setelah rakyat ‘makan hati’. Rasa marah dan kecewa terhadap kerajaan bukan sahaja membabitkan penyokong pembangkang malahan juga yang mengundi BN pada PRU13.

Dalam media-media sosial, berapa ramai yang mengaku menyesal mengundi BN.

Ini kerana mereka memberi undi kepada BN dahulu dengan keyakinan bahawa BN tidak akan menaikkan harga minyak, tarif elektrik dan sebagainya seperti yang dijanjikan.

Akan tetapi setelah kembali berkuasa, berkumandang apa disebut sebagai langkah merasionalisasikan subsidi yang menyaksikan harga minyak, harga gula dan tarif elektrik naik.

Dijangka banyak lagi yang akan naik sekali gus menaikkan darah rakyat selepas ini.

Tidak cukup itu, diberatkan lagi keadaan dengan kenyataan oleh pemimpin kerajaan yang bukan sahaja tidak prihatin malah seperti sengaja mahu bakar hati rakyat.

‘Harga ayam mahal, jangan makan ayam’, ‘tol naik, jangan guna lebuh raya’, ‘orang yang guna kereta, orang kaya, tidak mengapalah minyak mahal pun’, ‘mansuh subsidi gula untuk cegah kencing manis’ dan macam-macam lagi kenyataan yang seperti sengaja memperlekehkan minda rakyat.

Bagi saya, kenyataan semacam ini seperti sengaja mahu membiakkan pengundi pembangkang pada PRU akan datang.

Ya, kenaikan harga mungkin fenomena sedunia tetapi sejauh mana penjelasan dengan hujah- hujah yang lebih meyakinkan dibawa kepada rakyat dengan pendekatan yang ada nilai empati dan simpati?

Retorika-retorika pemimpin kerajaan selama ini ternyata tidak mampu tembus masuk ke  sanubari rakyat.

Ini disebabkan kelemahan mereka sendiri. Apa yang diucapkan hanya untuk menangkis suara rakyat sedangkan mereka sendiri didudukkan di situ oleh rakyat.

Inilah masalah dalam pimpinan kerajaan sekarang – tiadanya pelan perhubungan awam dan pengurusan krisis yang berkesan.

Sedangkan untuk berdepan dengan massa, menjawab isu yang sedang mereka geluti yang ada kaitan dengan dasar  kerajaan, seseorang ahli politik apa lagi yang bertaraf menteri tidak bolehlah semberono.

Mereka harus sentiasa bersedia dengan maklumat, dan bersedia juga untuk menjawab kemusykilan berbangkit terutama yang sudah dijangka.

Ya, soal pendapatan, ekonomi sendiri memang tanggungjawab individu. Tetapi soal harga barang, kos hidup, subsidi, tol, tarif elektrik, air dan seumpamanya, itu ada kaitan dengan kerajaan.


Kecewa

Wajarlah untuk rakyat berasa gusar, gundah gulana malah menyesal dan kecewa jika berlaku kenaikan.

Janganlah membodohkan rakyat dengan soalan, ‘di mana negara yang saiz dan penduduknya sama dengan negara kita tidak berlaku kenaikan kos hidup?’

Sebaiknya, jawablah sendiri di mana negara – yang sama atau tidak sama dengan Malaysia – malah kampung atau mukim (pun boleh) yang rakyat atau penduduknya bersorak gembira, bersetuju dan menyokong penuh tanpa sebarang bantahan kerajaan menarik subsidi sekali gus menaikkan kos hidup.

Jawab  soalan itu wahai Pak Menteri!

Ya, rakyat sedia untuk memahami bahawa kenaikan kos adalah fenomena sedunia. Tetapi bukan hari ini sahaja dunia mengalami masalah ekonomi seperti ini. Sudah berkali-kali malah lebih teruk pun.

Soalnya mengapa dahulu, pada zaman Tun Dr Mahathir, tidak pula berlaku penarikan subsidi yang sedrastik ini?

Menaikkan harga minyak adalah langkah terakhir dibuat oleh Tun dan apa yang dilakukan lebih awal adalah tindakan proaktif kerajaan dalam dasar fiskalnya, bukan dengan terus memindahkan beban kepada rakyat.

Ini mungkin kerana pada zaman Tun, rakyat tidak didahulukan sebagaimana sekarang!

Rakyat hari ini sudah tidak macam dahulu lagi. Mereka terdedah kepada pelbagai sumber maklumat. Dengan maklumat ini, mereka akan buat persepsi dan bersuara.

Apabila kerajaan lambat bertindak, rakyat hilang kepercayaan. Jika kerajaan tidak proaktif, pembangkang akan memainkan peranan dan dalam keadaan ini, tiada gunanya bagi pemimpin menyalahkan rakyat.

Pembangkang pula memang sudah kerjanya menangguk di air keruh!

Golongan rakyat yang paling tertekan ialah mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana rendah di bandar. Mereka inilah juga yang terdedah kepada sumber maklumat alternatif.

Di pihak kerajaan pula sebaliknya hanya taksub kepada media arus perdana. Golongan ini hanya ketawa apabila pemimpin kerajaan mengingatkan mereka supaya berjimat sedangkan pelbagai maklumat yang dibongkar menunjukkan pemimpin bukan sahaja tidak berjimat malah hidup bermewah-mewahan dengan perbelanjaan yang boleh diragukan.

Bagi rakyat pula, mahu berjimat apa lagi sedangkan yang hendak dijimatkan pun tidak ada. Sekarang ramai yang tertekan apabila perlu berbelanja besar untuk anak bersekolah.

Apakah boleh berjimat dengan tidak menyekolahkan anak? Sedangkan yang punya MBA pun boleh buat kenyataan seperti tidak sekolah, apa lagi yang benar-benar tidak bersekolah!

Walaupun langkah mengurangkan elaun menteri/timbalan menteri dihormati, kita harap ini bukan penamat. Banyak lagi yang perlu dilakukan sebagaimana masih banyak juga sumber pendapatan menteri yang masih belum dipotong.

Ketirisan perlu ditangani dan kita tak mahu laporan Ketua Audit Negara hanya jadi acara tahunan dengan angka- angka kecurangan yang membeliakkan mata tanpa apa-apa tindakan konkrit untuk memastikannya tidak berulang.

Setelah semua itu dilakukan, kita yakin rakyat akan lebih memahami ‘penderitaan’ kerajaan dan menerima usaha positif untuk menyelamatkan negara.

Kami tidak mampu untuk berhijrah ke mana-mana. Baik atau buruk, Malaysia tanah air kami juga!


sumber:sinarharian
Terima Kasih Atas Kunjungan Anda =)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hak Cipta Terpelihara Oleh aces15.blogspot.com 2012